KUALA LUMPUR 27 Jan - Lantunan di kaunter-kaunter perladangan dan kewangan hari ini membantu FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) berpatah arah daripada kejatuhan yang dialami pada tiga hari berturut-turut, kata peniaga.
Pada pukul 5 petang, FBM KLCI mengakhiri dagangan pada 1,526.96, naik 6.96 mata atau 0.458 peratus setelah dibuka 6.48 mata lebih tinggi pada 1,526.48.
Antara saham-saham berkaitan perladangan yang mendorong peningkatan bursa tempatan ialah Sime Darby yang mengukuh empat sen kepada RM9.24, IOI Corp menokok sesen kepada RM5.77, Batu Kawan melonjak 48 sen kepada RM16.78 dan KL Kepong yang melompat 40 sen kepada RM21.30.
Ketua Penyelidikan Runcit Affin Investment Bank, Dr Nazri Khan, berkata suasana yang lebih teguh hari ini disebabkan oleh kegiatan mencari saham murah, tetapi keadaan ini hanya sementara. "Pasaran mengalami lebihan jualan berikutan kejatuhan besar dalam tiga hari lepas," katanya kepada Bernama hari ini.
Indeks Kewangan naik 50.899 mata kepada 13,978.88, Indeks Perladangan meningkat 81.17 mata kepada 7,917.61 dan Indeks Perusahaan menambah 16.91 mata kepada 2,880.5. Indeks FBM Emas mengukuh 71.04 mata kepada 10,521.33, Indeks FBM70 melonjak 132.39 mata kepada 11,275.87.
Bagaimanapun, Indeks FBM Ace susut 9.6 mata kepada 4,240.47. Saham untung mengatasi saham rugi dengan jumlah 538 berbanding 238 manakala 263 tidak berubah, 325 tidak diniagakan dan 25 yang lain digantung urus niaga.
Jumlah dagangan mengecil kepada 1.410 bilion saham bernilai RM2.217 bilion daripada 1.420 bilion saham bernilai RM2.601 bilion semalam.
Mengungguli senarai saham-saham paling cergas ialah Ho Wah Genting yang menokok 8.5 sen kepada 64.5 sen, SAAG Consolidated tidak berubah, pada 12.5 sen dan Daya Material menambah 1.5 sen kepada 25.5 sen.
Bagi saham-saham berwajaran tinggi, Petronas Chemical naik 16 sen kepada RM6.12, Axiata dan Maybank turun sesen setiap satu.
Dalam Pasaran Utama, jumlah dagangan susut kepada 1.179 bilion saham, bernilai RM2.177 bilion daripada 1.186 bilion saham bernilai RM2.560 bilion sebelumnya.
Pasaran ACE mencatatkan peningkatan jumlah dagangan kepada 87.105 juta saham, bernilai RM8.565 juta berbanding 56.722 juta saham bernilai RM6.857 juta yang dicatatkan semalam. Waran susut jumlahnya kepada 139.501 juta saham bernilai RM28.479 juta berbanding 172.553 juta saham bernilai RM32.499 juta. - Bernama